JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang peniaga kedai peralatan komunikasi dipercayai memberi rasuah RM500 kepada Pembantu Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK), semalam.

Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya yang ingkar arahan notis menjalankan perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).Difahamkan, suspek lelaki berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang semalam di Pejabat SPRM Cawangan Kluang bagi membantu siasatan.

Suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan selepas pihak SPRM mengambil keterangannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek dikatakan sudah dikenakan kompaun oleh pihak MPK atas kesalahan ingkar arahan notis kali kedua mengikut Seksyen 109 Akta 171 yang mana jumlah kadar kompaun bagi kesalahan berkenaan berjumlah RM1,000. Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu.

Kongsi berita ini