KOTA ISKANDAR, 10 Jun: Warga pendidik harus menyesuaikan diri dengan normal baharu dunia pendidikan pasca COVID-19 bagi memastikan kesinambungan pendidikan anak-anak di negeri ini tidak terabai.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, normal baharu bukan penghalang dan warga pendidik harus memantapkan diri dengan pengetahuan serta kemahiran dalam  aspek pengajaran secara dalam talian supaya pelajar dapat menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dengan sempurna.

Beliau berkata, dunia pendidikan dalam konteks pasca COVID-19 akan dipacu oleh dua perubahan penting.

“Pertama, peranan warga pendidik akan menjadi fleksibel dan juga anjal. Ini kerana, semua orang boleh mencari ilmu dan maklumat dengan mudah dalam talian. Malah, sesetengah bahan pembelajaran ada yang diperoleh menerusi Internet sepenuhnya.

“Oleh itu, tugas para guru hari ini haruslah menjangkaui tugasan asasi dan tradisi yang selalu dilakukan. Mereka perlu lebih cakna, lebih berinformasi dan lebih berilmu untuk memastikan hanya yang terbaik akan sampai dalam minda anak-anak Johor,” katanya semasa merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Johor 2020, di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara kedua adalah penggunaan teknologi yang lebih aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya menggunakan aplikasi dalam talian.

“Pelbagai aplikasi seperti Zoom, WhatsApp, Skype dan Google Classroom menjadi pilihan ramai warga pendidik. Apa pun wadah yang digunakan, warga pendidik harus meningkatkan kemahiran dan kreatif dalam mengoptimumkan potensi aplikasi-aplikasi berkenaan,” katanya.

YAB Datuk Hasni berkata, Kerajaan Negeri Johor akan memperkasa ekosistem digital negeri, termasuk menyebarluaskan lagi capaian Internet yang berkualiti ke seluruh negeri.

“Ini kerana urusan harian secara maya atau dalam talian merupakan emerging trend of a post COVID-19 world. Dunia pasca COVID-19 akan menjadi lebih terangkum dan lebih berkait secara maya. Negeri Johor harus menyediakan infrastruktur berkaitan jika tidak mahu ketinggalan pada masa depan,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Haji Azmi Rohani;  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Haji Mazlan Bujang dan Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Haji Shaharuddin Saari. – Makmur Johor

Kongsi berita ini