PONTIAN, 25 September: Kerajaan Negeri Johor akan memastikan pembinaan jeti baharu serta usaha menaik taraf Pasar Kecil Pontian dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, usaha tersebut selaras dengan keperluan bagi membangunkan Pontian sebagai sebuah daerah yang memberi tumpuan terhadap sektor perikanan.
“Menerusi tinjauan di Pasar Kecil Pontian sebentar tadi, saya mendengar keluhan daripada peniaga tentang beberapa isu yang dihadapi mereka, khususnya berhubung infrastruktur pasar.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Johor mengambil maklum dan kita akan usahakan untuk membina jeti, menaik taraf pasar serta menurap jalan di kawasan pasar.
“Saya juga akan berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membangunkan tanah rizab yang dibiarkan supaya dapat memaksimumkan pembangunan ekonomi daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Agung Koperasi Nelayan Pontian Berhad di Restoran Lee Kee, di sini hari ini.
-
Sektor perikanan merupakan antara aktiviti ekonomi terpenting di daerah Pontian
Yang turut hadir, Pengerusi Koperasi Nelayan Pontian Berhad, Haji Osman Abu Bakar.
YAB Menteri Besar turut menyeru supaya Koperasi Nelayan Pontian Berhad dapat menyelesaikan isu-isu berbangkit melibatkan ahlinya.
“Saya berharap nelayan-nelayan menerusi koperasi dapat bersepakat demi memastikan penyaluran sebarang bantuan daripada Kerajaan Negeri Johor dapat disalurkan dengan mudah,” katanya. - Makmur Johor
