JOHOR BAHRU, 2 April: Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad semalam meninjau projek perumahan berkonsep ‘Flexi Home’ yang pertama diperkenalkan oleh pemaju hartanah di Malaysia.

Konsep yang diperkenalkan oleh Johor Land Berhad itu memberikan kebebasan kepada pembeli untuk mengubah suai rumah mereka mengikut kreativiti, keperluan dan cita rasa masing-masing berdasarkan kemampuan dan keperluan keluarga dari semasa ke semasa.

Pembangunan sebanyak 455 unit rumah di atas tanah berstatus hak milik kekal seluas 34.8 ekar itu adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Johor untuk meningkatkan pembinaan kediaman bagi rakyat Johor.

Bertepatan dengan norma baharu, iaitu amalan bekerja dari rumah, ‘Flexi Home’ merupakan pilihan tepat kerana memudahkan pembeli menyusun atur kediaman mereka mengikut kesesuaian termasuk ruangan untuk bekerja.

Selaras dengan perkembangan digital, kediaman tersebut turut dilengkapi dengan kemudahan internet jalur lebar bagi membolehkan pembeli mencapai akses dan kemudahan dalam talian yang menjadi keperluan utama masa kini.

Dengan konsep ‘dual key’, pembeli juga boleh mengubah suai rumah mengikut konsep ‘town house’ atau rumah bandar, ruang pejabat dan sebagainya.

Antara kelebihan ‘Flexi Home’  adalah kediaman tersebut boleh disewa mengikut tingkat bagi membantu ekonomi dan kewangan pembeli.

Lokasi ‘Flexi Home’ yang berada di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia dan di tengah-tengah Johor Bahru menjadikan kediaman berkenaan pilihan yang tepat dengan akses ke pusat bandar hanya mengambil masa 15 minit.

Kediaman ‘Flexi Home’ yang dibina di kawasan pembangunan Bandar Dato’ Onn juga memberi kelebihan kerana mempunyai pelbagai kemudahan seperti kedai, pejabat, pusat beli-belah, sekolah, masjid,  balai polis, hospital dan sebagainya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini