KOTA ISKANDAR, 23 Disember: Kerajaan Negeri Johor berharap pembinaan bangunan baharu Pejabat Daerah dan Tanah Kluang serta Majlis Perbandaran Kluang memberi suntikan semangat kepada wargakerja pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, usaha ini merupakan satu penghargaan atas jasa dan sumbangan warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah Kluang serta Majlis Perbandaran Kluang kepada rakyat.
”Kedua-dua bangunan ini didirikan di kawasan yang strategik dan membolehkan orang awam berurusan dengan lebih mudah serta kondusif kerana pembangunan ini dirancang secara holistik.
”Ia juga menyediakan pelbagai kemudahan, antaranya kafeteria, pondok pengawal, pondok bas, kiosk ATM, rumah sampah, pencawang elektrik dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Secara Maya Pejabat Daerah dan Tanah Kluang serta Majlis Perbandaran Kluang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Tuan Haji Ayub Jamil.
Majlis tersebut diadakan di dua lokasi berbeza iaitu di Kota Iskandar dan Kluang.
Yang turut menyaksikan majlis pelancaran itu di Kluang ialah Pegawai Daerah Kluang, Haji Ismail Abu dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Haji Mohd. Rafi Abdullah.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Baharu Pejabat Daerah Kluang dan Pejabat Tanah Kluang serta Majlis Perbandaran Kluang di Kota Iskandar secara maya, di sini, hari ini – Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM
YAB Menteri Besar berkata, pembinaan bagi dua buah bangunan ini telah dimandatkan kepada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) menerusi anak syarikatnya, KPRJ Builders Sdn. Bhd., (KBSB) dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.
”Kerajaan Negeri percaya rekod cemerlang dalam pembinaan infrastruktur di negeri ini, KPRJ mampu melaksanakan amanah yang diberikan dengan sempurna dan menambah nilai dalam pembangunan kedua-dua bangunan ini,” katanya. – Makmur Johor