KOTA ISKANDAR, 10 Jun: Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan 33 inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM241 juta.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, PRE Ihsan Johor 3.0 dilaksanakan bagi melengkapi usaha-usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

Beliau berkata, PRE Ihsan Johor 3.0 melibatkan dua fokus utama, iaitu pemerkasaan pengurusan pandemik dan pengukuhan bantuan keselamatan sosial.

”Fokus pertama dalam PRE Ihsan Johor 3.0, iaitu pemerkasaan pengurusan pandemik melibatkan empat inisiatif termasuk pembelian COVID-19 Test Kit RTK Antigen sebanyak 190,000 unit bagi menyokong usaha ujian saringan bersasar.

”Usaha ini turut dibantu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar raya yang akan turut membeli COVID-19 Test Kit RTK Antigen selain pembiayaan perbelanjaan operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sekatan jalan raya (SJR) dan membiayai kebajikan petugas barisan hadapan atau frontliners.

”Kerajaan Negeri juga bercadang untuk membeli vaksin COVID-19 bagi membolehkan rakyat di negeri ini mendapatkan bekalan vaksin. Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) akan membantu menjayakan inisiatif ini dengan menjual vaksin kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan PRE Ihsan Johor 3.0 secara langsung menerusi platform media sosial Facebook beliau, DatukHasniMohammad dan Makmur Johor.

YAB Menteri Besar menambah, fokus kedua ialah pengukuhan bantuan keselamatan sosial yang memberi tumpuan khusus terhadap sektor terjejas sepanjang pandemik COVID-19.

”PRE Ihsan Johor 3.0 akan menggunakan pendekatan secara sektoral. Sektor yang diberi tumpuan khusus ialah sektor masyarakat dan modal insan, sektor pelancongan dan sektor perusahaan kecil dan sederhana (IKS),” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini