BENUT, 19 Jun: Kerajaan Negeri Johor giat merancang dan berusaha mencari jalan penyelesaian dalam membantu rakyat yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, terdapat kira-kira 175,000 orang yang hilang mata pencarian akibat penularan virus maut berkenaan.

Beliau berlata, jumlah itu tidak termasuk mereka yang tidak dapat mencari rezeki di negara jiran akibat penutupan sempadan bagi mengelakkan penularan penyakit tersebut.

“Ini adalah sesuatu yang sedang kerajaan usahakan. Kita di peringkat kerajaan sedang membincangkan pelbagai pendekatan untuk membolehkan rakyat di Johor ini dibantu.

“Kerajaan Negeri dan pentadbir di peringkat daerah sentiasa memikirkan dan menggunakan kreativiti yang ada untuk memikirkan bagaimana kesempitan yang dihadapi oleh semua lapisan masyarakat termasuk yang berniaga di kedai secara pukal,  yang berniaga secara sementara di pusat-pusat perniagaan, yang berniaga pasar malam, penjual buah-buahan di tepi jalan dan sebagainya dapat bangkit seperti sediakala,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan di kawasan Benut, dekat Pontian di sini hari ini.

Pada majlis itu, Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut menyampaikan bantuan kepada beberapa pihak, termasuk sumbangan untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang terbakar milik Encik Zaini Hamid, dan bantuan bagi membina rumah PPRT yang roboh milik Encik Awang Sabirin.

Beliau turut menyerahkan bantuan sebanyak RM20,000 untuk kerja-kerja membaik pulih pendawaian elektrik Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming dan RM15,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Al Ulum, Kampung Parit Marjunit untuk membina pondok bacaan di sekolah itu.

Turut menerima sumbangan ialah Pertubuhan Mahasiswa Anak Pontian (RM13,572) dan Pertubuhan Kebajikan Insan & Muafakat Pontian untuk program bantuan kepada golongan asnaf (RM10,000).

YAB Datuk Hasni turut menyerahkan sumbangan RM30,000 kepada Tabika Kemas Parit Marjunit bagi kerja-kerja membaik pulih bangunan, serta RM30,000 kepada Surau Darul Rohim, Kampung Parit Selangor untuk pembelian karpet surau berkenaan. – MakmurJohor

Kongsi berita ini