BENUT, 21 Jun: Seorang pemandu lori, Zaini Abdul Hamid, 48, bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor yang akan membina rumah baharu untuk keluarganya selepas kediaman berusia 80 tahun yang diwarisinya musnah dalam kebakaran 1 Mei lalu.

Lebih mengharukan Zaini, bantuan berkenaan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad semasa mengunjungi keluarganya di Kampung Parit Panggung, Sanglang, semalam.

Rumah baharu itu akan dibina di tapak asal rumah yang musnah dalam kebakaran berkenaan.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada  kerajaan atas sumbangan ini,” katanya.

Menceritakan tentang kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, Zaini memberitahu, dia, isteri serta anak bongsu mereka berada di Keratong, Pahang kerana menziarahi bapa mentuanya yang sakit tenat.

“Oleh kerana waktu itu kita berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebenaran merentas negeri untuk tujuan kecemasan, hanya anak sulung dan anak kedua yang berada di rumah.

“Mujur mereka tidur di bawah (dapur). Jadi, sempat keluar untuk menyelamatkan diri ke rumah kakak yang bersebelahan dengan rumah saya,” katanya yang turut bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

Anak sulung menelefon isterinya dan memaklumkan perkara itu serta  memohon maaf berulang kali kerana terlelap seketika semasa menjerang air.

“Dia telefon isteri saya minta maaf dan berkata rumah terbakar. Isteri saya sangka kebakaran kecil dan menyuruh anak memadamnya guna air.

“Tetapi dimaklumkan seluruh rumah telah terbakar dan mereka hanya berjaya menyelamatkan dokumen penting,” katanya.

Zaini dan keluarga kini menumpang sementara di rumah kakaknya.

Turut serta dalam kunjungan YAB Menteri Besar ialah  Pegawai Daerah Pontian, Tuan Haji Zulkifly Mohd. Tahir. – Makmur Johor

Kongsi berita ini