KOTA ISKANDAR, 21 Mei: Kerajaan Negeri Johor mengumumkan beberapa bantuan bagi meringankan beban penggiat industri pelancongan di negeri ini yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara bantuan itu termasuk pemberian insentif sebanyak RM1,000 secara one off kepada 936 pemandu pelancong yang berlesen di Johor.

“Bantuan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM936,000. Selain itu, pengecualian bayaran lesen perniagaan kepada pemilik syarikat pelancongan dan hotel bagi tahun 2020. Insentif ini melibatkan jumlah sebanyak RM894,211 yang memberi manfaat kepada 1,031 pemegang lesen perniagaan.

“Insentif lain yang diumumkan ialah pengecualian bayaran duti hiburan bagi taman tema dan pusat hiburan keluarga bagi tahun 2020. Pengecualian bayaran ini dianggarkan berjumlah RM3 juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga dalam proses merangka strategi jangka pendek dan panjang bagi memulihkan serta mengembalikan daya saing industri pelancongan negeri pasca COVID-19.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad atas keprihatinan yang mendalam terhadap  industri pelancongan dan sektor hilirannya yang amat terkesan akibat COVID-19.

“Diharapkan agar segala insentif yang telah diumumkan akan membantu penggiat industri pelancongan serta mampu meningkatkan semula pencapaian sektor pelancongan di negeri ini,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini