JOHOR BAHRU, 17 Januari: Kerajaan Negeri Johor akan mengadakan perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bagi memastikan kebajikan pemandu e-hailing terpelihara.
Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, kebajikan itu termasuklah dengan menyediakan hentian ataupun ruang rehat kepada pemandu e-hailing serta penghantar makanan di setiap kawasan yang menjadi tumpuan mereka.
“Kerajaan sedang melihat dan mengkaji untuk menyediakan kemudahan seperti ruang untuk berehat yang lebih selesa dan selamat untuk mereka (pemandu e-hailing dan penghantar makanan) untuk bersolat membersihkan diri dan sebagainya.
“Secara keseluruhan, kerjasama daripada PBT perlu supaya tempat yang disediakan ini adalah tempat yang bersesuaian dengan perancangan PBT itu. Saya rasa penyediaan fasiliti ini merupakan cara yang terbaik dalam usaha menjaga kebajikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Perkhidmatan penghantaran AirAsia Super App di Johor Bahru City Square, di sini hari ini.
-
Hasni Mohammad menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Perkhidmatan Penghantaran AirAsia Super App di Johor Bahru City Square di sini , hari ini. - Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM
Terdahulu, YAB Menteri Besar melepaskan konvoi kenderaan AirAsia Ride dan AirAsia Food.
Dalam pada itu, YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kewujudan AirAsia Super App ini dalam membantu para peniaga dan masyarakat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Seperti kita sedia maklum sektor ekonomi gig ini dapat membantu masyarakat. Kewujudan aplikasi ini dapat membolehkan masyarakat di negeri ini menambah pendapatan.
“Saya yakin dan percaya usaha yang dibuat AirAsia ini akan mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai,” katanya. - Makmur Johor.



