JOHOR BAHRU, 16 Disember: Kerajaan Negeri Johor amat mengambil berat tentang kepentingan golongan belia dan sentiasa menghargai peranan dan sumbangan mereka, khususnya dalam pembangunan negeri ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, pelbagai agenda bagi memperkasakan golongan belia di negeri ini telah diperkenalkan menerusi beberapa inisiatif seperti Dewan Muda Johor dan Johor Apprentice, Hikmah Johor, Saujana Talk: Orang Muda Johor 2022 dan Program Medini Leadership.

Beliau berbangga dengan golongan belia di negeri ini yang dilihat sangat aktif untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan negeri.

“Kerajaan tidak teragak-agak (membangunkan) pelbagai inisiatif untuk belia sebagai contoh, Dewan Muda Johor sebagai platform untuk melatih bakat-bakat muda Johor, seterusnya memberi pendedahan kepada mereka berbahas mengikut peraturan yang ditetapkan oleh sesuatu perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Johor 2021, di Hotel Holiday Villa, di sini malam tadi.

YAB Menteri Besar berkata, golongan belia di Johor juga sangat bertuah kerana persatuan belia di negeri ini dinaungi sendiri oleh Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

“Saya amat yakin dan percaya bahawa golongan belia di negeri ini tentunya berasa bangga lebih-lebih lagi mempunyai Penaung Diraja Majlis Belia Negeri Johor yang saya kira tidak semua negeri ada.

“Tahniah dan terima kasih penghargaan kita kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim,” katanya.

Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar turut mengucapkan tahniah kepada para penerima Anugerah Perdana Belia Negara.

“Anugerah ini juga mampu menterjemahkan keterlibatan aktif belia dalam pembangunan masyarakat, sekali gus menggalakkan penyertaan golongan anak muda dalam bidangan kesukarelaan dan kemasyarakatan.

“Tahniah kepada semua calon dan pemenang anugerah atas pencapaian ini. Melihat anak-anak muda yang hadir dan berada di sini, terlintas dalam fikiran kita bahawa inilah wajah dan cerminan masa depan Johor dan Malaysia.  Anda semua adalah waris yang akan menerajui kepimpinan negara suatu hari nanti,” katanya.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Shamsuhaime Basir dan Presiden Majlis Belia Negeri, Md. Salleheen Mohamad.-Makmur Johor

Kongsi berita ini