JOHOR BAHRU, 19 April: Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk memastikan sasaran pembukaan sempadan antara Johor dan Singapura pada bulan Jun ini tercapai.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin akan mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong awal Mei ini dan dijangka turut membincangkan perkara berkenaan.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) mengenai perkara itu sudah pada peringkat akhir dan akan dibentangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk dibawa dalam mesyuarat tersebut bagi memberi keyakinan kepada republik berkenaan.

“SOP yang kita percaya boleh memberi keselesaan kepada kerajaan Singapura seperti kawalan pergerakan terhad, iaitu walaupun mereka boleh menyeberangi sempadan, tidak bermakna mereka boleh bergerak sesuka hati ke seluruh Singapura.

“Jadi, saya percaya kita patut kekalkan bulan Jun sebagai sasaran dan berharap ada sesuatu yang positif akan terhasil daripada mesyuarat antara Perdana Menteri dan Perdana Menteri Singapura pada 3 Mei dan saya diberitahu mereka akan berbincang berkenaan pembukaan sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan ‘Kick Start’ Program MEKAR: Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak & Remaja Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor di Dewan Banquet, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, antara SOP pergerakan terhad itu sama seperti kebenaran kepada para pemandu lori yang diberi kelulusan untuk memasuki Singapura secara harian.

“Jika ada mekanisme yang boleh dibangunkan, sebagai contoh pemandu lori kita yang dibenarkan untuk memasuki Singapura setiap hari. Jadi kenapa perlu ada perbezaan kerana mereka juga datang dari Malaysia, dari Johor.

“Mereka dibenarkan untuk ke Singapura secara harian dari ‘point-point’ lokasi yang spesifik. Jika mereka mahu bekerja, mereka cuma boleh bergerak dari ‘point’ A ke ‘point’ B. Saya rasa perkara yang sama boleh dipertimbangkan (untuk pekerja lain),” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai permulaan telah bersetuju untuk memperuntukkan 100,000 vaksin kepada pekerja yang berulang-alik antara kedua-dua negara.– Makmur Johor

Kongsi berita ini