JOHOR BAHRU, 25 Disember: Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM59 juta untuk menambah baik dan menyelenggara sistem perparitan di kawasan berisiko banjir.
Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, peruntukan tersebut merangkumi RM27 juta bagi kerja penambahbaikan, manakala RM32 juta untuk penyelenggaraan.
Menurutnya, peruntukan itu diharap dapat disegerakan penggunaannya dengan mengutamakan kawasan-kawasan ‘hotspot’ yang berisiko mengalami bencana banjir.
“Mesyuarat bersama-sama sekreateriat bencana peringkat negeri telah diadakan bagi memastikan usaha menangani masalah banjir, persediaan kali ini bukan hanya melibatkan keperluan aset yang cukup serta pusat pemindahan sementara (PPS), malah tindakan yang cepat diambil semua pihak.
“Di Johor, semua jabatan dan agensi berkaitan sudah diarahkan bagi melakukan latihan penyelarasan sebagai persiapan mendepani kemungkinan bencana banjir di luar jangkaan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan Bencana Makmur Johor di Bangunan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini hari ini.
Misi Bantuan Bencana Makmur Johor merupakan inisiatif Pergerakan Pemuda UMNO Johor dengan kerjasama beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini untuk membantu mangsa banjir yang terjejas.
Misi yang membawa barangan makanan dan keperluan tersebut dimulakan di dua negeri, iaitu di Shah Alam, Selangor sebelum menuju ke Mentakab, Pahang.
Dalam perkembangan lain, YAB Menteri Besar Johor berkata, keputusan kerajaan menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura adalah bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan kes COVID-19 melibatkan varian Omicron di negara seberang tambak itu.
Katanya, penggantungan sementara penjualan tiket bas dan penerbangan tidak bermakna laluan VTL antara kedua-dua negara itu ditutup.
“Kita bersetuju pembukaan VTL darat yang menggunakan kenderaaan awam dapat dikawal dan tidak mahu masyarakat di kedua-dua negara ini bimbang dengan pembukaan sempadan dengan jumlah kemasukan pengembara yang besar boleh jadi punca kepada penularan varian Omicron ini.
“Sekiranya keadaan seperti biasa atau nampak penurunan, saya yakin dan percaya bahawa kita akan lihat semula dari segi jumlah yang dibenarkan untuk melakukan perjalanan VTL ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan keputusan itu dibuat dengan mengambil kira laporan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu berhubung kejadian satu kluster tempatan COVID-19 membabitkan tiga kes positif termasuk kemungkinan varian Omicron.
Khairy berkata, bagi pengembara yang sudah memiliki tiket perjalanan VTL melalui darat dan udara serta memenuhi syarat yang ditetapkan, boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif berkenaan. - Makmur Johor.


