ISKANDAR PUTERI, 11 Jan: Johor komited mahu memperkasakan pelancongan kesihatan kerana ia adalah salah satu daripada sektor penting dalam pertumbuhan ekonomi Johor.
Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, Johor memiliki potensi besar untuk mengembangkan sektor itu didorong oleh faktor lokasi strategik yang mampu menarik minat pelabur.
Menurutnya, sebagai contoh, industri pelancongan di Desaru berjaya menarik pelabur untuk membina hotel bertaraf sehingga enam bintang, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap sektor pelancongan di negeri ini.
“Kita perlu perluaskan. Kerana jika bercakap mengenai sumbangan sektor pelancongan, kita dapat melihat dengan kedudukan Johor yang strategik dengan ruang dan peluang yang ada serta potensi pasaran yang besar, pelabur datang ke Johor dan melabur, contohnya kita punya pembangunan resort di Desaru.
“Jadi, untuk itu semua pihak perlu saling berganding bahu untuk memastikan bahawa sektor-sektor yang berpotensi ini dapat terus membangun, dapat terus dibangunkan dan diperluaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam lawatan rasmi ke Hospital Gleneagles Medini Johor, di sini hari ini.
-
Hasni Mohammad beramah mesra dengan petugas kesihatan Hospital Gleneagles Medini selepas hadir pada lawatan rasmi ke Hospital tersebut di sini, hari ini. - Foto Muhammad Aidil Hussain/ MEDKOM
YAB Menteri Besar, berkata, walaupun sektor itu mempunyai pelbagai cabaran, termasuk persaingan daripada negara-negara jiran serantau, namun beliau yakin perkara itu akan dapat diatasi.
“Indonesia sedang giat menggalakkan rakyat mereka untuk mendapatkan rawatan di sana dengan membangunkan sebuah hospital antarabangsa di zon ekonominya di Bali.
“Ini adalah cabaran serantau yang kita hadapi, tetapi dalam masa yang sama itu juga menunjukkan bahawa sektor pelancongan kesihatan merupakan satu sektor yang tentunya mendapat sambutan.
“Jadi, saya kira kita perlulah berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada para pelancong menerusi servis dan juga kepakaran yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu, YAB Menteri Besar diberi taklimat berkenaan kemudahan baharu yang terdapat di hospital berkenaan, iaitu Unit Perubatan Nuklear yang akan dibuka pada suku kedua 2022 untuk melengkapkan perkhidmatan rawatan kanser sedia ada.
Unit tersebut akan dilengkapi dengan mesin imbasan PET CT dengan kadar radiasi minimum untuk merawat kanser.
Yang turut hadir ialah Pegawai Daerah Johor Bahru, YB Tuan Haji Abdul Rahman Salleh; Datuk Bandar Iskandar Puteri, YB Dato’ Haji Mohd. Haffiz Ahmad; Pengarah Kesihatan Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles, Dr. Kamal Amzan. - Makmur Johor


