JOHOR BAHRU, 11 November: Kerajaan Negeri Johor memohon supaya pembukaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura dibuka serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berharap permintaan itu dipertimbangkan memandangkan terdapat kira-kira 300,000 rakyat negara ini yang bekerja secara harian dan berulang-alik ke republik itu setiap hari.

“VTL bagi laluan udara antara Malaysia dan Singapura telah dibincangkan dan diputuskan kedua-dua negara.

“Justeru, Kerajaan Negeri Johor berharap laluan VTL darat dapat dilaksanakan serentak dengan tarikh VTL bagi laluan darat melibatkan sempadan Johor-Singapura mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah dipersetujui kedua-dua negara.

“Saya berharap permohonan ini dapat direalisasikan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 di Auditorium RTM Johor, di sini semalam.

Baru-baru ini, Malaysia dan Singapura mengumumkan akan melancarkan VTL bagi pengembara antara kedua-dua negara yang sudang lengkap divaksinasi menggunakan mod pengangkutan udara mulai 29 November ini.

VTL tersebut melibatkan laluan antara Lapangan Terbang Changi, Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri Johor juga mencadangkan supaya jumlah pengembara yang berulang-alik menerusi sempadan Malaysia-Singapura dihadkan 100 orang dengan menaiki pengangkutan awam.

“SOP VTL darat bergantung kepada kapasiti Pusat Pengembara Perniagaan (BTC) yang terletak di pintu sempadan. Ia juga memerlukan persediaan petugas seperti Jabatan Imigresen dan bergantung kepada keluasan BTC bagi menjalankan ujian saringan COVID-19 terhadap pengembara.

“Buat permulaan mungkin boleh hadkan jumlah 100 pengembara yang hanya menaiki pengangkutan awam sahaja kerana ia mudah untuk dikawal,” katanya. - Makmur Johor

Kongsi berita ini