JOHOR BAHRU, 21 Disember: Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad hari ini melancarkan Iskandar Malaysia Urban Observatory (IMUO) Microsite sebagai salah satu usaha kerajaan mengembangkan inisiatif analisis data merentasi seluruh negeri.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyokong penuh analisis data sebagai produk utama dalam Agenda Johor Digital.

Agenda Johor Digital adalah usaha kerajaan negeri untuk memperkasa ekonomi negeri, didorong oleh ekonomi digital lebih-lebih lagi semasa pandemik COVID-19 yang kini telah mengubah keadaan hidup masyarakat.

“Agenda ini membantu memberi limpahan sosioekonomi kepada rakyat Johor dengan setiap tindakan dan polisi kerajaan di peringkat rendah hingga peringkat atasan akan berpandukan data.

“Saya berharap supaya semua menyedari bahawa betapa pentingnya analisis data untuk membantu kita membuat lebih banyak keputusan betul, tepat pada masanya dan dengannya dapat memberi kesan positif dalam komuniti kita,” katanya pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Tuan Haji Ayub Jamil; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim dan Timbalan Wakil Residen, Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Puan Manon Bernier.

YAB Menteri Besar berkata, pada masa ini, banyak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan di seluruh dunia telah menggunakan platform analisis data untuk membantu menguruskan operasi mereka dengan lebih baik.

“Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Digital Johor untuk merumuskan strategi rancangan pembangunan negeri ini ke arah digital serta merangka Pelan Induk Johor Digital yang merangkumi aspek transformasi sektor kerajaan, pemerkasaan industri dan penyesuaian masyarakat menjelang 2030,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini