JOHOR BAHRU, 30 Julai: Penerima vaksin di bawah Johor ImmuPlan menyifatkan program tersebut amat membantu rakyat negeri ini yang mencari pendapatan di Singapura.

Seorang penerima, Kanmani a/p Kalimuthu, 33, berkata, sejak pandemik COVID-19, dia terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anaknya di Johor Bahru disebabkan tidak dapat berulang-alik ke Singapura.

”Sebelum ini, saya terpaksa menunggu giliran menerusi aplikasi MySejahera. Dengan adanya program ini, saya mendapat vaksin lebih cepat dan saya berharap dapat kembali semula untuk bekerja secepat mungkin.

”Program vaksinasi ini juga sangat membantu pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura berikutan ia dapat menjimatkan kos untuk urusan kuarantin sekiranya masuk ke Singapura untuk bekerja,” katanya.

Terdahulu, YAB Menteri Besar, Dato’ Haji Hasni Mohammad mengadakan lawatan ringkas ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Persada bagi melihat proses vaksinasi di bawah program Johor ImmuPlan, di sini semalam.

Yang turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan a/l Ramanadhan;  Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pengurusan), YB Dato’ Haji Mohd. Noh Ibrahim; Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor, Mohd Tarmizi Dan.

Seorang lagi penerima vaksin, Nor Fazlina Hamdan, 34, berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor yang memperkenalkan inisiatif tersebut.

“Sebelum COVID-19, saya berulang-alik bekerja di Singapura sebagai pegawai khidmat pelanggan. Dengan adanya program ini, harapan saya untuk bekerja di Singapura akan tercapai.

“Program sebegini wajar diteruskan, saya berharap program vaksinasi di bawah Johor ImmuPlan ini dapat diperluaskan kepada seluruh warga Johor,” katanya. – Makmur Johor.

Kongsi berita ini