JOHOR BAHRU, 5 April: Kerajaan Negeri tetap fokus melaksanakan Agenda Prasarana Johor dengan menyokong usaha pemaju membina lebih banyak Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ).

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, usaha membangunkan RMBJ perlu diteruskan biarpun situasi semasa ekonomi agak mencabar berikutan pandemik COVID-19.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan sentiasa memberi kerjasama kepada pelbagai pihak dalam melancarkan pelbagai urusan pemaju, contohnya seperti perolehan sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF). 

“Selain itu, ia termasuk juga memberi kelonggaran daripada segi caj sedia ada yang dikenakan Kerajaan Negeri dalam memastikan projek pembangunan perumahan dapat diteruskan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Johor di Bandar Cemerlang, Ulu Tiram, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Tuan Haji Ayub Jamil. 

YAB Menteri Besar menambah, Kerajaan Negeri  sememangnya bersifat responsif dengan mengambil inisiatif meringankan beban termasuk pemberian rebat cukai tanah. 

“Ketika rakyat berdepan  dengan cabaran pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk memberikan rebat cukai tanah hingga tahun 2022 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020.

“Usaha ini terus diperkasakan menerusi pengecualian sewa yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri termasuk di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan,” jelasnya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini