JOHOR BAHRU, 4 Nov: Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad memaklumkan Johor dijemput menyertai Wilayah Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Menurutnya, perkara itu diumumkan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.
Justeru, Johor akan memulakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan berkenaan penyertaan negeri ini dalam IMT-GT minggu depan.
“Dahulu IMT-GT ini hanya melibatkan negeri di sebelah utara tanah air, antaranya Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Perak.
“Tetapi kali ini Johor turut dijemput untuk menganggotai dan kita akan memulakan perbincangan pada minggu depan bagaimana kita dapat menjalin kerjasama pertumbuhan ekonomi ini,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah Ikon Siswa Johor 2021 (AISJ21), di sini malam tadi.
-
Hasni Mohammad menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Menteri Besar Johor kepada Naja Nafhan bin Azman pada Majlis Anugerah Ikon Siswa Johor 2021 (AISJ21), di KSL Resort Johor Bahru City Centre,
sini malam tadi. - Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM
YAB Menteri Besar berkata, penyertaan Johor amat bersesuaian kerana negeri ini turut menjalin kerjasama dengan Indonesia menerusi Kepulauan Riau.
“Indonesia mahu membangunkan Riau sebagai wilayah pertumbuhan ekonomi baharu. Maka ia difikirkan bahawa Johor amat sesuai untuk terlibat sama.
“Apabila Indonesia membangunkan daerah berkenaan, Malaysia juga harus membangunkan daerah di Pantai Barat. Maka dengan ini Johor akan mempunyai satu lagi ‘regional authority’,” katanya.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Haji Mazlan Bujang; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan. - Makmur Johor


