ISKANDAR PUTERI, 27 November:Kerajaan Negeri bercadang mengumumkan cuti peristiwa sekiranya pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala Malaysia pada 30 November ini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, pengumuman itu dibuat sebagai meraikan kejayaan skuad berkenaan menjuarai piala bersejarah itu pada ulang tahun ke-100 Piala Malaysia.

“Sebenarnya saya nak umumkan esok, ketika penggulungan (Sidang DUN), tetapi kerana saya teruja dengan JDT menang semalam, saya hendak cuba pujuk, kalau boleh 30 November ini kita menang, esoknya kita cuti sehari,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Semalam, JDT mengesahkan layak ke final Piala Malaysia setelah menundukkan Terengganu 3-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.

“Tahniah diucapkan kepada JDT kerana walaupun mereka bermain dengan 10 pemain, mereka masih dapat menundukkan Terengganu dengan keputusan cemerlang,” ujarnya.

YAB Menteri Besar berharap JDT akan membariskan pemain terbaik untuk menjulang piala berkenaan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 30 November nanti.

Dua gol JDT dijaringkan oleh Bergson Da Silva, manakala satu lagi gol oleh Gonzalo Cabrera.

YAB Menteri Besar dan seluruh rakyat Johor mendoakan kemenangan pasukan JDT pada perlawanan akhir bertemu KL City Fc pada 30 November ini.

“Saya berharap kita semua berdoa mudah-mudahan supaya pasukan JDT akan membariskan pemain-pemain yang terbaik untuk menjuarai Piala Malaysia yang berusia 100 tahun ini,” katanya.-Makmur Johor

Kongsi berita ini