KULAI, 4 Mei: Johor terus mengorak langkah dengan mengambil pendekatan strategik dalam memastikan ekonomi negeri ini berkembang biarpun berdepan dengan penurunan pelaburan, khususnya dalam sektor domestik akibat pandemik COVID-19.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, antara pendekatan strategik untuk merangsang ekonomi negeri ini termasuk dengan kewujudan Zon Ekonomi Khas Pagoh.

”Kerajaan Negeri Johor akan memberi tumpuan penuh, khususnya daripada segi galakan kepada pemain industri untuk mengembangkan syarikat selain memperbanyakkan aktiviti perniagaan di zon yang terletak di utara Johor ini.

”Bukan hanya tertumpu dalam sektor pembuatan, galakan turut diberikan bagi pelbagai sektor lain untuk berkembang dalam lingkungan zon ini. Saya yakin zon ini mempunyai potensi besar, sekali gus mampu menjadikan Johor sebagai sebuah kuasa ekonomi besar di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah United Kotak Berhad 2 di Kawasan Perindustrian SME, Bandar Indahpura, Kulai di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Tosrin Jarvanthi dan Presiden Oji Asia Packaging (OAP) Sdn. Bhd., Encik Dilun Tan.

Zon Ekonomi Khas Pagoh yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin pada Mac lalu melibatkan jumlah pembangunan sebanyak RM1.1 bilion dengan keluasan 174 hektar bagi kawasan industri dan 170 hektar untuk hab keusahawanan.

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar berkata, selain pemerkasaan ekonomi menerusi Zon Ekonomi Khas Pagoh, usaha menarik pelaburan turut diteruskan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), khususnya di wilayah Iskandar Malaysia.

”IRDA terus mengalakkan pelaburan ke negeri Johor dengan menarik syarikat-syarikat luar untuk melabur dalam industri digital. Galakan tersebut dikhususkan bagi syarikat yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang teknologi digital.

”Saya juga menerima berita baik apabila Forest City memberitahu niat mereka untuk membina infrastruktur digital dalam kawasan pembangunan mereka. Saya yakin infrastruktur ini berpontesi menjadikan kawasan Medini dan Kota Iskandar sebagai hab digital di negeri ini,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini