JOHOR BAHRU, 20 Disember: Kerajaan Negeri Johor mengalu-alukan cadangan sebuah konsortium yang berhasrat untuk membangunkan projek tren Transit Aliran Ringan (LRT) bagi memperkasakan lagi sistem pengangkutan awam di bandar raya ini.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, projek LRT yang dicadangkan itu dilihat dapat menyokong pembangunan Sistem Transit Rapid (RTS) Link antara Johor Bahru dan Singapura.

Menurutnya, lebih 100,000 pengguna bakal menerima manfaat daripada pembangunan RTS yang bertujuan mengurangkan kesesakan, sekali gus memberi keselesaan kepada rakyat di negeri ini yang berurusan dengan negara jiran, Singapura.

“Maka, kalau dibina sistem sokongan seperti LRT ini, ia akan dapat menjadi satu rancangan pembangunan infrastruktur rel yang berdaya maju. Lebih 100,000 pengguna memadai dan mencukupi untuk dibangunkan sistem LRT di Bandar Raya Johor Bahru.

“Menerusi cadangan daripada pihak konsortium itu juga, fasa pertama daripada tujuh fasa pembangunan LRT itu melibatkan pembangunan rel di sepanjang jajaran Jalan Tun Razak.

“Dalam cadangan oleh pihak konsortium itu, pada fasa pertama daripada tujuh fasa pembangunan LRT itu melalui jajaran Tun Razak. Cadangan itu diharap dapat mengukuhkan sistem pengangkutan awam sedia ada di Terminal Larkin dan kawasan Bandar Baru Uda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pusat Komuniti Kampung Bakar Batu, di sini semalam.

Pusat komuniti itu mula dibangunkan pada 19 Februari 2018 dan siap sepenuhnya pada 31 Ogos 2020 dengan kos keseluruhan RM7.69 juta.

Pusat Komuniti Kampung Bakar Batu berkenaan dilengkapi Dewan Muafakat, Rumah Kelab Bola Sepak dan padang bola sepak.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Tuan Haji Ayub Jamil dan Datuk Bandar Johor Bahru, YB Dato’ Haji Mohd. Noorazam Osman.

YAB Menteri Besar menambah, cadangan pembangunan itu kerana keyakinan pasaran bahawa bandar raya ini mempunyai potensi yang besar dalam sektor pengangkutan awam pada masa depan.

“Justeru, kerjasama semua pihak termasuk masyarakat diperlukan dalam usaha memastikan pembangunan ini berjaya. Sekiranya ia dapat direalisasikan, pelbagai pihak dapat menerima manfaat daripada pembangunan ini,” katanya. - Makmur Johor.

Kongsi berita ini