KOTA ISKANDAR, 20 Mei: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan penyaluran maklumat berkenaan pencegahan COVID-19 dalam dilakukan dengan berkesan kepada rakyat negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, aktiviti pencegahan pandemik COVID-19 ini dilakukan secara berfasa bersesuaian dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan pada masa ini.

“Hingga semalam, sebanyak 2,219 aktiviti pendampingan komuniti (community engagement) telah berjaya dilaksanakan dengan memberi fokus kepada kumpulan sasaran seperti pesakit, keluarga pesakit, komuniti yang terjejas di zon merah, pelanggan klinik dan hospital.

“Selain itu, aktiviti tersebut turut dilakukan di pusat-pusat kuarantin, institusi pendidikan, agensi-agensi kerajaan, pihak industri, taman perumahan dan kawasan kediaman, pertubuhan agama, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, YB Vidyananthan memberitahu, sebanyak 18,354 aktiviti bersemuka pencegahan COVID-19 telah dilaksanakan dengan kehadiran seramai 117,301 orang.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 17,969 aktiviti nasihat individu, 116 sesi ceramah, tunjuk cara, taklimat dan sesi townhall dengan kehadiran seramai 42,907 peserta dan 87 sesi pameran dengan kehadiran 21,300 orang telah diadakan.

“JKNJ juga telah mengedarkan sebanyak 118,676 bahan bercetak promosi kesihatan seperti gegantung, poster dan risalah,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini