KOTA ISKANDAR, 21 Mei: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menggunakan pendekatan penguatkuasaan menerusi pendidikan (educational enforcement) dalam memastikan pengendali makanan di negeri ini mematuhi amalan kebersihan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Yb Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, penguatkuasaan menerusi pendidikan itu ditumpukan terhadap premis-premis penyediaan dan penjualan makanan yang berisiko tinggi.

Beliau berkata, pemantauan yang bermula 28 April lalu sempena bulan Ramadan dilakukan melibatkan kilang makanan yang menghasilkan ais, air minuman, makanan mentah, restoran yang menjual makanan berbuka puasa dan penjualan dari rumah.

”Ini juga termasuk premis lain seperti food truck, kiosk atau gerai yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

YB Vidyananthan berkata, pemeriksaan memberi fokus tahap pematuhan terhadap Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang merangkumi aspek fizikal dan sanitasi premis serta amalan kebersihan pengendali makanan.

”Sepanjang pemeriksaan, anggota kesihatan juga memberikan nasihat dan mengedarkan bahan promosi supaya pengendali makanan terus mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi untuk mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kejadian keracunan makanan dan air kepada pengguna,” katanya.

Kongsi berita ini