KOTA ISKANDAR, 5 Oktober: Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Jauhar (Jauhar Childcare Centre) mampu dijadikan penanda aras bagi pembangunan pusat seumpama itu di seluruh daerah di negeri Johor.
Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, pusat penjagaan itu yang dibangunkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dilengkapi dengan modul pembelajaran bagi kanak-kanak hingga usia empat tahun.
“Terdapat empat modul disediakan YPKDT bagi membantu pengajar dalam sesi pembelajaran. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kawasan rekreasi untuk pembelajaran kanak-kanak sama ada di dalam mahupun di luar bangunan.
“Pusat ini yang mampu memuatkan lebih 50 anak-anak kakitangan Kerajaan Negeri Johor, saya yakin ia mampu diperluaskan dan dijadikan penanda aras bagi pembangunan di daerah-daerah lain di negeri ini,” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Modul Jauhar serta Perasmian Jauhar Childcare Centre , di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, YB Puan Zaiton Ismail.
Terdahulu, YAB Menteri Besar turut mengadakan lawatan ke pejabat YPKDT yang terletak di Bangunan Dato’ Mohamad Ibrahim Munsyi, di sini.
Dalam lawatan itu, YAB Menteri Besar turut merasmikan Program Gerobok Makanan YPKDT dan Bilik Kaunseling di bawah Program Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling secara dalam talian atau Mindx. - Makmur Johor



