JOHOR BAHRU, 27 Januari: Inisiatif pengumpulan data berpusat dan plaform informasi analitik di Iskandar Malaysia yang dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) diharap mampu menjadikan Johor sebagai gerbang data utama di negara ini.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, inisiatif yang dikenali sebagai Iskandar Malaysia Urban Observatory (IMUO) turut berpotensi menjadikan negeri ini sebagai pusat pengumpulan data yang terkemuka sehingga ke peringkat Asia Tenggara.

“Insiatif ini mampu mewujudkan jaringan dan peluang kepada semua pihak untuk berkolaborasi dan berkongsi data secara kolektif mengenai isu pembangunan, dasar dan keputusan untuk membangunkan sebuah bandar yang mampan dan lestari.

“Justeru, saya menyeru agar lebih banyak agensi berkaitan memberi sokongan, kerjasama serta berkongsi pengalaman dalam usaha menjadikan IMUO sebagai satu kaedah untuk menganalisis data,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Forum Iskandar Malaysia Urban Observatory (IMUO) di Hotel DoubleTree By Hilton, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Tuan Haji Ayub Jamil dan Pegawai Kewangan Johor, YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan.

Terdahulu, YAB Menteri Besar menyaksikan penyampaian sijil perjanjian kerjasama oleh Ketua Eksekutif IRDA, Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim kepada agensi yang terlibat termasuk Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pembangunan), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Badan Kawalselia Air Negeri Johor (BAKAJ) dan Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Johor.

YAB Menteri Besar menambah, inisiatif yang dilaksanakan oleh IRDA dengan kerjasama Program Pembangunan PBB (UNDP) itu dapat dimanfaatkan oleh Kerajaan Negeri, khususnya dalam membuat keputusan dengan baik dan berkesan selain melakukan perancangan lebih teratur.

“Saya berharap IMOU ini mampu mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan. Saya juga ingin melihat (IMOU) mengurangkan jurang yang wujud antara agensi menerusi kolaborasi perkongsian data ini,” katanya. - Makmur Johor

Kongsi berita ini