KOTA ISKANDAR, 28 November: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan Belanjawan Johor 2022 berjumlah RM1.958 bilion bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat negeri ini yang terjejas akibat COVID-19 terus terbela.

Belanjawan Johor 2022 yang bertemakan ‘Memperhebat Kesejahteraan Johor’ dibentangkan oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad pada 18 November lalu.

Belanjawan Johor 2022 adalah belanjawan defisit dengan unjuran hasil negeri sebanyak RM1.671 bilion, manakala unjuran perbelanjaan berjumlah RM1.958 bilion.

Lulusnya Belanjawan Johor 2022 itu sekali gus mengetepikan spekulasi berhubung sidang DUN yang dikatakan akan ‘panas’ berikutan situasi politik semasa.

DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah UMNO dan DAP, masing-masing 14, BERSATU (12), MIC (2, PAS (1), AMANAH (9) dan PKR (4).

Situasi itu menjadikan kerajaan yang diterajui oleh UMNO mempunyai 29 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) yang memiliki 27 kerusi. - Makmur Johor

Kongsi berita ini