JOHOR BAHRU, 18 Februari: Kerajaan Negeri masih menunggu kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membuka dua Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) swasta yang pertama di negeri ini.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, dua pusat berkenaan akan dibuka di Kota Iskandar dan Kota Tinggi.

Menurutnya, PKRC swasta itu dijangka mula beroperasi awal bulan depan dan akan menempatkan pesakit-pesakit COVID-19 dalam kalangan warga asing.

“Kita sedang memproses permohonan dua PKRC swasta, iaitu sebuah hotel di Kota Iskandar dan sebuah asrama pekerja di Kota Tinggi.

“Kapasiti PKRC swasta di hotel itu kira-kira 250 orang, manakala di asrama pekerja itu mungkin lebih daripada itu, tetapi ada syarat-syarat dan peraturan yang mereka perlu patuhi.

“Insya-Allah menjelang Mac, kedua-dua PKRC ini sudah boleh beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PKRC Majlis Bandaraya Pasir Gudang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB R.Vidyanthan; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu dan Datuk Bandar Pasir Gudang, Asman Shah Abdul Rahman.

Menurut YAB Menteri Besar, kos rawatan di PKRC swasta itu apabila dibuka kelak akan ditanggung oleh majikan masing-masing atau pesakit sendiri.

Mengenai imunisasi di negeri ini, beliau berkata, program itu dilakukan secara berfasa dan para petugas barisan hadapan akan menerima suntikan vaksin pada awal Mac ini.

“Pada hujung bulan ini atau pun awal Mac, kita akan mula menguruskan pelaksanaan Pelan Imunisasi COVID-19 dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di daerah-daerah sudah bersiap-siaga dengan mengenal pasti pusat-pusat pemberian vaksin,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini