PONTIAN, 20 Februari: Dua buah keluarga masing-masing di kawasan Benut dan Ayer Baloi di sini melahirkan rasa syukur apabila menerima rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) 2020 Kerajaan Negeri Johor. 

Pemilik rumah tersebut masing-masing Zaini Abdul Hamid dan Awang Sabirin menerima replika kunci mereka daripada Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad pada tinjauan ke daerah Pontian, di sini hari ini

Menurut Zain, 49, dia bersyukur apabila menerima sebuah rumah baharu selepas rumah yang didiami keluarganya terbakar pada Mei tahun lalu. 

“Alhamdulillah, janji Kerajaan Negeri Johor ditunaikan apabila rumah di bawah PBR telah siap dibina, sekiranya tiada aral melintang kami akan berpindah masuk sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya. 

Sebelum ini, YAB Menteri Besar pernah melawat keluarga Zaini pada Jun tahun lepas selepas rumah yang diwarisi keluarganya selama 80 tahun terbakar akibat anak sulungnya terlupa menutup api dapur ketika menjerang air. 

Dalam pada itu, seorang lagi penerima rumah PBR yang dilawat YAB Menteri Besar, Awang 50, turut melahirkan rasa syukur selepas rumah sudah disiapkan sepenuhnya. 

“Sebelum ini kami duduk di rumah usang. Alhamdulillah, rumah ini selesa untuk saya khususnya kepada anak-anak saya yang masih bersekolah,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini