JOHOR BAHRU, 5 Disember: Digital Wholesales Market yang dibangunkan Kerajaan Negeri Johor menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Johor Corporation (JCorp) dijangka beroperasi tahun depan.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, JCorp kini sedang dalam perbincangan dengan syarikat pembangun web Digital Wholesales Market dari Eropah bagi merealisasikan hasrat itu.

“Perbincangan dengan syarikat pembangun web Digital Wholesales Market dari Eropah seperti Rungis E-Marketplace dan Sammeric sedang giat dilaksanakan. Kita (Kerajaan Negeri Johor) berharap perbincangan itu dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Sekiranya ia dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat, pembangunan sistem dapat dijalankan pada tahun depan, sekali gus pelbagai produk, sebagai contoh pertanian dalam negara kita dapat dipasarkan secara global,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kebun Bandar sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Johor Tahun 2021 di perkarangan Masjid Impian Emas, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Buku Panduan Pelaksanaan Kebun Bandar.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Tuan Haji Ayub Jamil; Pegawai Kewangan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Salehhuddin Hassan dan Pengarah PlanMalaysia@Johor (Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Johor), TPR Saidin Lateh.

YAB Menteri Besar berkata, pelaksanaan Kebun Bandar oleh PLANMalaysia@Johor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan komuniti amat bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri Johor untuk menjadikan pertanian sebagai agenda penting negeri.

“Kewujudan Kebun Bandar ini bertepatan dengan keadaan semasa. Ia juga sedikit sebanyak dapat mengimbangi kenaikan harga barang mentah.

“Ia juga dapat membolehkan kita memasarkan produk sendiri, sekali gus dapat mengawal harga produk pertanian dan mengurangkan peranan orang tengah,” katanya. - Makmur Johor.

Kongsi berita ini