JOHOR BAHRU, 5 JUN: Benteng konkrit akan dibina semula secepat mungkin di tebingan Sungai Plentong, berhampiran Kampung Plentong Baru, di sini bagi mengurangkan risiko banjir kilat melanda penempatan berkenaan. 

Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Johor, YB Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, pihak kontraktor berkaitan sudah bersetuju membina semula benteng berkenaan yang sebelum ini terpaksa dirobohkan bagi membolehkan kerja-kerja pelebaran jalan dilaksanakan di kampung tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan taklimat oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri,  punca banjir kilat yang melanda kampung itu semalam akibat limpahan air dari Sungai Plentong ekoran hujan lebat selama beberapa jam.

“Pihak JPS sudah beri penerangan tentang punca banjir kilat, iaitu akibat limpahan air dari Sungai Plentong disebabkan kerja-kerja pelebaran jalan oleh pihak kontraktor. 

“Ia juga disebabkan oleh hujan lebat dan ditambah dengan air pasang besar dan pembinaan benteng ini adalah penyelesaian jangka pendek. JPS akan merangka penyelesaian jangka panjang dan kita harap banjir kilat ini tidak akan berulang,” katanya selepas mewakili YAB Menteri Besar melawat tebingan Sungai Plentong dan beberapa rumah penduduk di Kampung Plentong Baru yang dilanda banjir kilat, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, sebanyak 250 rumah dinaiki air yang melimpah dari Sungai Plentong.

Difahamkan, ada kediaman penduduk yang dinaiki air banjir sehingga paras lutut.

Dalam pada itu, YB Datuk Zulkurnain berkata, YAB Menteri Besar juga sudah bersetuju supaya bantuan ihsan kepada semua mangsa disalurkan segera oleh pihak Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Justeru, beliau sudah meminta pihak Pejabat Daerah Johor Bahru dengan bantuan Penghulu Mukim Plentong, Mohd. Nurul Faiz Aman dan Ketua Kampung Senibong, Mohd. Nor Ali serta agensi berkaitan untuk menyenaraikan nama semua mangsa dan maklumat berkaitan bagi membolehkan bantuan dapat diberikan secepat mungkin.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Johor pimpinan YAB Datuk Hasni Mohammad sentiasa mengambil berat segala permasalahan rakyat di peringkat akar umbi dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan dan kemakmuran semua. – Makmur Johor

Kongsi berita ini