KLUANG, 31 Oktober: Kerajaan Negeri Johor akan menambah baik dan mengemas kini setiap inisiatif dalam Belanjawan Johor 2022 yang bakal dibentangkan November ini.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, penambahbaikan dilakukan dalam usaha memastikan tiada golongan yang tercicir daripada mendapat manfaatnya

Menurutnya, beberapa pindaan akan dilakukan bagi melengkapi Bajet 2022 yang dibentang oleh Kerajaan Persekutuan kelmarin yang amat komprehensif dan merangkumi pelbagai aspek.

“Pindaan tersebut memberi peluang kepada Kerajaan Negeri memperluaskan lagi bantuan-bantuan yang akan dipertimbangkan bagi mereka yang tidak menerima faedah daripada bajet Kerajaan Persekutuan.

“Jika kita lihat, Kerajaan Negeri menerima 11 peratus daripadanya atau sekitar RM865 juta bagi tujuan untuk pembangunan dan pengurusan negeri.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Johor juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana melihat Johor ada potensi dalam hal tertentu, termasuk menyediakan sebuah pusat pengurusan untuk mereka yang datang ke Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hak Milik Kampung Sri Maju Jaya dan Kampung Bukit Nyamuk Renggam di Dataran Belia Renggam, dekat sini semalam.

Pada Majlis itu, YAB Menteri Besar menyampaikan geran hak milik kepada wakil keluarga yang meneroka kawasan penempatan di kedua-dua lokasi tersebut sejak tahun 1970-an.

Sementara itu, dalam lawatan sehari ke daerah Kluang bagi Sesi Libat Urus bersama-sama pentadbir dan pemimpin setempat bagi persiapan Belanjawan Johor 2022, beliau mengakui Kluang mempunyai potensi tersendiri.

“Kedudukan daerah ini yang strategik dan berada di tengah-tengah membolehkan program-program Kerajaan Negeri seperti Jaminan Bekalan Makanan dilaksanakan di negeri ini.

“Kita boleh bangunkan pusat pengumpulannya ataupun gudang bagi tujuan memudahkan logistik pengangkutan barang-barang keluaran pertanian sebelum pergi ke pasaran,” katanya. - Makmur Johor

Kongsi berita ini