KOTA ISKANDAR, 21 Mei: Orang ramai tidak perlu risau tentang  keperluan bahan mentah hasil pertanian kerana bekalan mencukupi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, sebagai negeri pengeluar utama daging, ayam, ikan dan sayur-sayuran, Johor tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan menjelang perayaan berkenaan.

“Bekalan bahan mentah kita mencukupi kerana aktiviti pertanian dan penternakan berjalan seperti biasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Malah menurut beliau, bekalan daging lembu, kambing dan ayam adalah berlebihan kerana terdapat penurunan permintaan sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

“Sukacita saya maklumkan bahawa kita mempunyai bekalan daging lembu yang banyak dengan permintaan daging lembu berkurangan antara 20 hingga 50 peratus sepanjang tempoh PKP dan PKPB ini.

“Begitu juga bekalan daging kambing apabila permintaan berkurangan sebanyak 50 hingga 80 peratus di sesetengah tempat ini kerana tiada majlis keramaian atau kenduri kahwin yang diadakan dalam musim COVID-19 yang melanda ini.

“Bekalan dan permintaan terhadap ayam juga tiada masalah kerana kita mempunyai bekalan yang mencukupi, malah berlebihan apabila permintaan ayam mengalami pengurangan antara 40 hingga 50 peratus, manakala permintaan bagi telur ayam adalah stabil,” katanya.

Walau bagaimanapun, YB Datuk Samsolbari memaklumkan, permintaan terhadap ikan meningkat sepanjang PKP dan PKPB, namun bekalannya tetap mencukupi.

Bagi sambutan Aidilfitri kali ini, beliau memberitahu, Jabatan Veterinar Negeri Johor telah mengeluarkan permit penyembelihan bagi  539 ekor lembu, tujuh  kerbau, 318 kambing dan 55 kambing biri-biri.

Menurutnya, walaupun pasar malam dan pasar tani tidak dibenarkan beroperasi, namun Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ada menyediakan lapan Pasar Segar Terkawal (PST) dan 18 Agrobazar Pertubuhan Peladang Kawasan di seluruh negeri di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri (LPPN).

“Bagi pusat pemasaran ikan, terdapat empat Kompleks Pendaratan Ikan, sembilan pasar nelayan, dua Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) dan 11 pasar borong dan runcit akan beroperasi di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya.

Kongsi berita ini