KOTA TINGGI, 1 Nov: Kawasan alam semula jadi di Kota Tinggi akan terus dipelihara bagi mengimbangi impak pembangunan di daerah berkenaan, khususnya di kawasan Pengerang.

Menteri Besar YAB Dato’ Haji Hasni Mohamad berkata, pembangunan dalam industri minyak dan gas di Pengerang adalah sesuatu yang perlu dilakukan walaupun sedikit sebanyak memberi impak terhadap kualiti udara di kawasan berkenaan.

“Pembangunan di Pengerang dan Dasar Perubahan Iklim Negara perlu diseimbangkan. Jadi, saya dan pegawai daerah melihat daerah Kota Tinggi perlu kita jaga dan pelihara kawasan alam semula jadinya, kawasan hutannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah peringkat Dua, Felda Lok Heng Timur di Kompleks Sukan Komuniti, Felda Lok Heng Timur sempena lawatan kerja sehari beliau ke daerah Kota Tinggi, semalam.

YAB Menteri Besar berkata, lawatan berkenaan memberi peluang kepada beliau dan kepimpinan negeri untuk duduk berbincang bersama-sama kepimpinan di peringkat daerah bagi mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang berlaku di daerah berkenaan.

Beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan ialah pembangunan di Pengerang, pencerobohan gajah liar dan masalah air di Felda Lok Heng.

“Sebab itu kami datang berbincang dan menyusun penyelesaiannya mengikut keutamaan, termasuklah isu air di Felda Lok Heng ini,” katanya. 

Pada majlis itu, seramai 225 peneroka peringkat dua di felda berkenaan menerima hak milik tanah.

Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar Johor turut mengingatkan penerima supaya menjaga hak milik tanah berkenaan.

“Apabila kita bagi hak milik ini, maka jagalah. Saya tahu tuan-tuan dan puan-puan sudah menunggu lama untuk mendapatkan hak milik ini.

“Kita akan meneruskan pemberian hak milik ini. Kerajaan negeri telahpun meluluskan permohonan untuk peringkat kedua ini pada 28 Disember lalu untuk seramai 225 peneroka.

“Bagi hak milik peringkat ketiga nanti, lebih 40 peneroka yang hari ini sedang dikemas kini untuk dimuktamadkan prosesnya,” katanya.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan; Pengarah Tanah dan Galian, YB Dato’ Haji Mohammed Ridha Abd. Kadir; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Puan Hajah Hazlina Jalil dan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor. - Makmur Johor

Kongsi berita ini