Oleh NUR WANI NADHIRAH MOHAMMAD SHOFIAN SHAH

JOHOR BAHRU, 29 April: Kerajaan Negeri Johor menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerima zakat perniagaan bagi tahun 2021 sebanyak RM11.424 juta daripada 18 syarikat swasta dan anak syarikat kerajaan negeri.

Zakat perniagaan disampaikan oleh wakil syarikat masing-masing kepada Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad pada satu majlis di kediaman rasmi beliau di Saujana, di sini semalam.

Penyerahan zakat didahului oleh Syarikat Rempah Mak Siti Product Sdn. Bhd., yang menyerahkan zakat sebanyak RM60,000, diikuti Nasuha Enterprise Sdn. Bhd., (RM100,000), TETO Engineering Sdn. Bhd., (RM100,000) dan Sime Darby Properties Berhad (RM100,000).

Syarikat lain yang turut membayar zakat perniagaan ialah Maybank Islamic Berhad, iaitu sebanyak RM209,519 dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) serta anak-anak syarikatnya sebanyak RM461,200.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Johor (Juita) yang juga isteri kepada YAB Menteri Besar, Yang Amat Dihormati (YAD), Datin Fazlina Omar; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Azmi Rohani dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

Pada majlis itu turut diadakan pengagihan dividen Hari Raya Felcra 2021 kepada para pesertanya dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM18,696,348.56.

Turut diadakan penyerahan bantuan kepada penerima Program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat Negeri Johor (SPKR) dengan jumlah keseluruhan RM572,400.

Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian sumbangan oleh Kerajaan Negeri Johor kepada balu-balu anggota, anggota kurang upaya dan yang cedera bagi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sumbangan tersebut disampaikan oleh YAB Menteri Besar dan isteri, Datin Fazlina.

Jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM231,200. – Makmur Johor

Kongsi berita ini