KOTA ISKANDAR, 21 Nov: Kira-kira 1,440 pengembara akan dibenar untuk merentas sempadan Malaysia-Singapura menerusi pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat dalam minggu pertama pelaksanaannya.
Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, jumlah pengembara yang dibenarkan kemudian akan ditambah antara 2,500 hingga 5,000 orang pada minggu-minggu berikutnya.
Sehubungan itu, beliau berharap pembukaan VTL darat yang dijadualkan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini tidak akan ditangguh.
“Jumlah pengembara yang akan dibenarkan merentasi sempadan melalui VTL darat ketika pembukaannya bukan soal utama, sama ada sedikit atau banyak.
“Yang penting ialah kita buka dahulu laluan sempadan darat berkenaan dan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dilaksana untuk memastikan ‘safe travel’ semua pihak terlibat,” katanya semasa menjawab soalan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan YB Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya); YB Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu) dan YB Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) berhubung pelaksanaan inisiatif VTL darat dan jumlah pengembara yang akan dibenarkan agar bersesuaian dengan kemampuan saringan.
YAB Menteri Besar berkata, kerajaan bagaimanapun sedang memuktamadkan sama ada pengembara berkenaan hanya akan dibenar menggunakan pengangkutan awam atau turut dibenarkan menggunakan kenderaan persendirian.
“Johor sudah bersedia untuk pembukaan VTL darat ini dengan kita telah memberi cadangan SOP dan juga sistem yang bersesuaian untuk digunakan, antaranya sistem ‘Johor Travel Safe’ yang telah dibangunkan Kerajaan Negeri.
“Sistem itu sebelum ini dibangunkan untuk membantu Kerajaan Persekutuan ketika pelaksanaan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) melibatkan seramai 2,000 orang sehari dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) melibatkan seramai 400 orang seminggu,” ujarnya.
Kerajaan Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyediakan dan memperkukuh SOP berkenaan VTL darat, terutamanya berkenaan prosedur operasi saringan kepada pengembara yang ingin keluar dan masuk sempadan kedua-dua buah negara.
“Prosedur ini juga akan memastikan kapasiti saringan dapat menampung jumlah pengembara di bawah VTL darat.
“Bagi memastikan SOP dilaksana bersesuaian dengan pembukaan itu, satu ujian percubaan akan dilaksanakan esok.
“Selain itu, pelbagai isu perlu diberi penekanan termasuk pengiktirafan sijil vaksinasi di antara dua negara, kapasiti Tambak Johor dan juga LinKedua, kebenaran mengakses maklumat status vaksinasi, perjalanan bebas kuarantin dan pematuhan SOP kesihatan dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Pelaksanaan VTL darat adalah satu lagi kejayaan penting dalam kerjasama Malaysia dan Singapura dan berupaya untuk memulihkan ekonomi kedua-dua negara terutama sekali Johor. - Makmur Johor



