PONTIAN, 8 Februari: Kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam memastikan Pontian menjadi daerah yang berpotensi untuk menjadi penyumbang utama terhadap pembangunan di negeri ini.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, ketika diberi amanah menerajui pentadbiran Johor selama hampir dua tahun, beliau melihat daerah ini mempunyai potensi besar daripada segi pembangunan.

“Saya sudah memikirkan bagaimana Pontian ini dapat dibangunkan. Saya juga telah melihat kaedah yang terbaik untuk memastikan program ekonomi tidak terhenti setakat di Bandaraya Johor Bahru, tetapi melimpah sampai ke daerah Pontian.

“Justeru, saya mengajak semua pihak bekerjasama menjadikan pontian sebagai daerah yang menjadi penyumbang besar kepada kemajuan Johor.

“Kalau Johor dapat menyumbang kepada pertumbuhan negara kita, saya juga harap Pontian menjadi daerah yang dapat menjadi penyumbang besar kepada pertumbuhan ekonomi Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Jamuan Muhibah Tahun Baharu Cina yang diadakan di pekarangan Kuil Fat See Kong Kow Beow, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Pada majlis itu, YAB Menteri Besar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi tujuan penambahbaikan infrastruktur kuil itu.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor akan memastikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di daerah ini diperkukuhkan, khususnya daripada segi kemudahan asas dan pembelajaran.

“Sekolah-sekolah ini semua perlu kita berikan perhatian dan beri sokongan agar Pontian juga boleh lahirkan cendikiawan, golongan bijak pandai dan pelajar-pelajar cemerlang bagi mewakili Negeri Johor.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan tidak berapa lama lagi, sekiranya saya diberi peluang untuk menerajui Negeri Johor, kita akan bawa lebih banyak peluang dan kejayaan bagi daerah Pontian,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini