KOTA ISKANDAR, 10 Jun: Prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan individu yang memasuki pintu masuk antarabangsa di negeri ini masih dikuatkuasakan biarpun pusat kuarantin telah ditutup.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, saringan suhu di semua pintu masuk masih dilaksanakan  seperti biasa.

”Sekiranya, individu tersebut diletakkan di bawah Individu Dalam Siasatan (PUI), mereka akan terus dirujuk ke hospital. Ujian saringan COVID-19 perlu dijalankan sebaik sahaja individu tersebut tiba di suatu kawasan yang akan ditetapkan oleh Kerajaan Negeri. Ujian kedua pada hari ke-13 adalah di bawah pengurusan Pejabat Kesihatan Daerah.

”Fasiliti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan  yang terletak di Bandar Baru Uda, Johor Bahru akan digunakan sebagai pusat saringan kesihatan dan transit sebelum individu berstatus Individu Dalam Pemerhatian (PUS) itu dibenarkan di kuarantin di kediaman masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

YB Vidyananthan berkata, pemantauan di rumah masih di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang mendapat kerjasama daripada semua pihak berkuasa berkaitan, termasuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sekiranya individu berstatus PUS tersebut ingin meneruskan kuarantin di hotel, kos tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh individu berkenaan.

“‘Semua individu yang berstatus PUS turut dikehendaki memuat naik dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera dan wajib di kuarantin di alamat yang telah dinyatakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kos kuarantin juga perlu ditanggung sepenuhnya oleh individu tersebut.

”Berikutan tiada lagi pusat kuarantin yang akan disediakan oleh kerajaan, semua PUS yang sedang menjalankan kuarantin di hotel atau Institut Latihan Awam (ILA) perlu didaftarkan,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini