KOTA ISKANDAR, 9 Jun: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merekodkan sebanyak 43 berita palsu dan isu yang melibatkan negeri Johor sejak Januari hingga 7 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, kesemua berita palsu yang dikesan telah dinafikan, dijelaskan dan diberikan kewaspadaan dalam portal Sebenarnya.my.

“Di seluruh negara, SKMM telah menerima sebanyak 393 kandungan atau berita palsu. Kesemuanya turut dinafikan, dijelaskan dan diberikan kewaspadaan dalam portal sama.

”Penciptaan atau penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, YB Vidyananthan memberitahu, SKKM juga membuka sebanyak 55 kertas siasatan berkaitan kandungan yang bersifat palsu dan jelik dalam tempoh yang sama.

”Dua daripada keseluruhan 55 kertas siasatan terbabit adalah dari negeri Johor. Sebanyak enam suspek telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan di seluruh negara.

”Sekiranya ragu-ragu mengenai kesahihan sesuatu berita dan untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan penyebaran berita atau kandungan palsu di Malaysia, semua pihak dinasihati untuk melayari portal Sebenarnya.my atau sertai saluran telegram Sebenarnya.my menerusi pautan https://t.me/sebenarnyamy,” katanya.  – Makmur Johor

Kongsi berita ini