Oleh: NUR WANI NADHIRAH MOHAMMAD SHOFIAN SHAH

KULAI, 4 Mei: Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bakal membangunkan Jemaluang Dairy Valley dengan nilai pelaburan sebanyak RM100 juta.

Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad berkata, projek di kawasan seluas 680 hektar itu akan memberi tumpuan terhadap produk susu segar yang diyakini dapat meningkatkan ekonomi bukan sahaja di Mersing, malah daerah terdekat seperti Kota Tinggi dan Pasir Gudang.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor akan diwakili oleh Johor Corporation (JCorp) untuk bekerjasama dalam memberi kepakaran berkaitan industri tenusu berkenaan.

“JCorp akan mengenal pasti rakan strategik dan RM100 juta itu adalah satu pelaburan minimum berdasarkan infrastruktur disediakan yang bernilai RM70 juta dilaburkan oleh kerajaan menerusi ECER.

”Setakat ini, fokus akan diberikan khusus terhadap produk susu segar, seramai 20 peladang satelit akan dikenal pasti dalam menjayakan projek ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah United Kotak Berhad 2, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Tosrin Jarvanthi dan Presiden Oji Asia Packaging (OAP) Sdn. Bhd., Encik Dilun Tan.

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar berkata, projek Lebuh Raya Pantai Timur 4 (LPT4) merupakan salah satu projek terbaharu yang akan dilaksanakan di daerah Mersing.

Beliau berkata, jajaran LPT4 adalah meliputi negeri Terengganu, Pahang sehingga ke daerah Mersing, Johor.

“LPT4 ini dapat dibina segera kerana akan membuka lebih banyak lagi peluang pelaburan, khususnya dalam sektor pelancongan ke daerah Mersing.

”Dengan adanya infrastruktur yang baik, saya percaya industri pelancongan di Johor ini selain daripada kemudahan-kemudahan lain juga akan dapat menjadi salah satu pemangkin bagi ekonomi di negeri Johor ini,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini