KOTA ISKANDAR, 22 November: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sebagai Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) berkuat-kuasa, hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad dalam sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kerja MBPG di Dewan Banquet, Bangunan Dato’ Jaafar Mohammad, di sini.

Menurut beliau, MBPG merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketiga dinaik taraf sebagai bandar raya selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada 1994 dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada 2017.

“Kepesatan pembangunan Pasir Gudang sebagai Bandaraya Industri dan Pelabuhan dengan kelebihan mempunyai dua buah pelabuhan bertaraf antarabangsa serta kemudahan prasarana menyeluruh yang mengutamakan kesejahteraan rakyatnya serta lengkap memenuhi syarat keperluannya.

”Justeru, adalah wajar Pasir Gudang mendapat pengiktirafan dan status sebagai sebuah bandar raya,” katanya.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Haji Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Tuan Haji Ayub Jamil.

YAB Menteri Besar menambah, kawasan pentadbiran MBPG yang berkeluasan 35,956 hektar mempunyai 533,868 penduduk dengan majoriti kaum Melayu sebanyak 66 peratus, Cina dan India masing-masing (11%), manakala Lain-lain (2%).

Beliau berkata, jumlah pegangan harta bagi di MBPG sebanyak 90,758 dengan anggaran hasil sebanyak RM127.2 juta setahun.

“Hingga 31 Disember 2019, MPPG berjaya mengutip cukai taksiran semasa sebanyak RM103,132,089 (85.6%) daripada RM120,458,033, manakala bagi kutipan tunggakan cukai taksiran pula sebanyak RM18,925,282 (61.1%) berjaya dikutip daripada jumlah tunggakan keseluruhan RM30,967,097,” katanya sambil memberitahun PBT tersebut mempunyai 541 kakitangan, termasuk 203 orang bertaraf kontrak.

Dalam pada itu, Asman Shah yang dilantik sebagai Datuk Bandar Pasir Gudang pertama bertekad untuk memberi lebih tumpuan bagi meningkatkan tahap kesejahteraan penduduk dan alam sekitar.

“Fokus saya untuk menjadikan Pasir Gudang sebagai sebuah bandar industri yang selamat dan lestari untuk didiami penduduknya selain menjamin kelangsungan 16 kampung tradisi yang berada dalam kawasan berkenaan. – Makmur Johor

Kongsi berita ini