JOHOR BAHRU, 19 Julai: Menteri Besar, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad hadir meninjau persiapan akhir pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) integrasi mega South Key Midvalley, di sini, semalam.

PPV South Key Midvalley adalah PPV mega pertama beroperasi di pusat beli-belah di negeri ini dan hasil kerjasama pihak kerajaan dan swasta menerusi Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Healthcare Berhad.

PPV South Key Midvalley akan mula beroperasi hari ini dari jam 8 pagi hingga 9 malam dan mampu memberi suntikan sehingga 5,000 dos sehari.

YAB Menteri Besar mengakui pembukaan PPV mega itu penting bagi membantu Johor mencapai sasaran 80 peratus rakyat yang mendaftar menerima suntikan vaksin.

“Kita di Johor sudah bersiap sedia dengan kapasiti pemberian suntikan vaksin antara 50,000 hingga 60,000 dos sehari.

“PPV mega ini penting kerana kita harapkan ia dapat membantu rakyat diberi vaksin seberapa segera supaya rancangan kita menjelang Oktober nanti, berjaya suntik 80 peratus daripada 2.5 juta rakyat Johor yang kita sasarkan bagi membentuk imuniti kelompok,” katanya.

YAB Menteri Besar turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan PPV berkenaan.

“Saya rasa seluruh negara berbangga dengan pengorbanan masa dan tenaga sukarelawan daripada pelbagai pihak untuk membantu negeri dan negara kita bagi menjayakan program vaksinasi ini,” katanya.

Seramai 283 kakitangan perubatan dan sokongan daripada tujuh hospital pakar KPJ, iaitu Hospital Pakar KPJ Johor, Hospital Pakar KPJ Puteri, Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, Hospital Pakar KPJ Kluang, Hospital Pakar KPJ Batu Pahat dan Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani melaksanakan proses pemberian vaksin di PPV berkenaan.

Turut membantu melancarkan proses pemberian vaksin ialah sukarelawan daripada Malaysia Vaccine Support Volunteers, (MyVac).

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu; Pegawai Daerah Johor Bahru, Dato’ Haji Abdul Rahman Salleh dan Datuk Bandar Johor Bahru, YB Dato’ Adib Azhari Daud. – Makmur Johor

Kongsi berita ini