SEGAMAT, 2 Ogos: Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad menyampaikan baucar makanan KFC sebanyak RM2 juta kepada Pengurus Besar Yayasan Johor Corporation (JCorp), Noor Ruzilawati Ruddin, semalam.

Baucar itu merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang diumumkan YAB Menteri Besar baru-baru ini.

Penyerahan baucar berkenaan yang bertujuan membantu golongan mahasiswa, anak yatim piatu dan warga emas berlangsung di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, YB Zaiton Ismail; Pegawai Daerah Segamat, Nasri Md. Ali dan Pengarah JKM Johor, Mohamad Hapil.

Turut diadakan ialah penyampaian baucar kepada salah satu kumpulan penerima iaitu daripada Persatuan Kebajikan Orang Istimewa Segamat yang diwakili Pengerusinya, Seah Kian Aik.

Sementara itu, Kian Aik merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor atas sumbangan baucar makanan tersebut.

”Persatuan ini menjaga lebih 12 anak yatim di daerah ini. Baucar ini sememangnya mampu memberi keceriaan kepada mereka. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor, khususnya YAB Menteri Besar Johor,” katanya. – Makmur Johor.

Kongsi berita ini