PONTIAN, 20 Februari: Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad hari ini berkesempatan memberi semangat kepada tiga orang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula Isnin ini. 

YAB Datuk Hasni menyifatkan pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan pada tahun ini sememangnya insan hebat kerana berhadapan dengan situasi pandemik COVID-19 ini.

“Hingga kini, anak-anak semua masih kental untuk menghadapi peperiksaan besar masing-masing, iaitu SPM, SVM, STPM dan STAM yang amat bermakna.

“Walaupun pandemik COVID-19 menjejaskan sesi pembelajaran sejak awal tahun lalu, namun anda (pelajar) semua tetap tabah dan kekal bersemangat,” katanya.

Terdahulu, beliau bertemu calon SPM, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut, iaitu Iskandar Iz’aan M. Yazid, 18, di rumahnya di Jalan Parit Ismail dekat Benut di sini. 

Beliau kemudiannya memberi semangat kepada calon SPM seterusnya, iaitu Nor Farziana Najwa Fauzi, 18, yang terletak di kawasan berdekatan, iaitu di Kampung Parit Wahab.

Kunjungan itu diteruskan ke Kampung Sanglang, Ayer Baloi di sini dengan melawat pelajar SMK Benut yang bakal menghadapi SPM iaitu Lim Sze Yang.

Bagi Iskandar Iz’aan yang mengambil aliran Tasawwuf Islam dan Pendidikan Seni, kehadiran YAB Menteri Besar menyuntik semangatnya untuk terus memberikan yang terbaik dalam peperiksaan SPM nanti. 

“Seperti sedia maklum, pandemik COVID-19 yang melanda telah sedikit sebanyak menjejaskan pembelajaran, namun saya gembira dengan kehadiran YAB Menteri Besar Johor pada hari ini. 

“Kehadiran YAB Menteri Besar pada hari ini membuktikan beliau peka dan mengambil berat pelajar seperti kami yang bakal mengambil SPM dalam keadaan norma baharu,” katanya. 

Dalam pada itu, Nor Farziana Najwa turut mengakui bertuah berjumpa YAB Menteri Besar Johor.

“Saya rasa bertuah apabila YAB Menteri Besar sendiri datang ke rumah memberi kata-kata semangat, saya berharap dapat memperoleh keputusan cemerlang pada keputusan SPM nanti,” katanya.

Sementara itu, Sze Yang yang merupakan pelajar dari SMK Benut turut melahirkan rasa terharu apabila YAB Menteri Besar datang melawat rumahnya dan bertemu keluarganya.

“Kata-kata semangat yang diberi oleh YAB Menteri Besar bakal menjadi pembakar semangat untuk berhadapan peperiksaan yang dianggap penting demi masa depan saya,” katanya – Makmur Johor

Kongsi berita ini