KOTA ISKANDAR, 6 Julai: Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad membuktikan beliau seorang pemimpin yang bersikap terbuka apabila mengalu-alukan usaha pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor untuk mewujudkan kabinet bayangan.

Sambil menyifatkan usaha itu sebagai satu langkah yang baik dan positif, beliau memahami perjuangan pemimpin PH Johor berkenaan.

”Saya pun pernah menjadi ketua pembangkang dan hari ini, semua yang ada di hadapan saya hari ini (ahli kabinet bayangan) telah menjadi Exco.

“Justeru, sekiranya mereka (PH) diberi peluang untuk menjadi kerajaan, mungkin mereka akan jadi kerajaan yang baik,” katanya mengulas kenyataan pemimpin PH Johor yang mewujudkan kabinet bayangan mereka.

YAB Menteri Besar berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Ibrahim Johor Economic Council (IJEC) di Hotel Jen by Shangri-La, di sini hari ini.

Semalam PH Johor dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka akan mewujudkan kabinet bayangan dalam memainkan peranan semak dan imbang terhadap polisi dan dasar kerajaan negeri pada masa ini.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan PH Johor yang diadakan semalam. – Makmur Johor

Kongsi berita ini