KOTA ISKANDAR, 19 Mei: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor sudah menjalankan pemeriksaan ke atas 4,008 premis hingga 17 Mei lalu bagi memastikan bekalan makanan mencukupi semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan A/L Ramanadhan berkata, pemeriksaan yang melibatkan 200 anggota penguat kuasa itu merangkumi 3,486 peruncit, 397 pemborong dan 125 pengilang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bekalan makanan adalah mencukupi, namun beberapa barangan mendapat permintaan tinggi seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, telur ayam, ayam segar dan sayur-sayuran. 

“KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan ke atas semua peniaga serta penjual ayam di peringkat pemborong dan peruncit apabila berlaku kenaikan harga.

“Hingga 17 Mei lalu, sebanyak 55 Notis Pengesahan Maklumat telah dikeluarkan kepada peniaga ayam bagi mendapatkan penjelasan berkaitan kenaikan harga ayam. Sekiranya peniaga dengan sengaja atau gagal menunjukkan bukti munasabah bahawa kenaikan harga ekoran peningkatan kos, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

YB Vidyananthan berkata, individu yang melakukan kesalahan itu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM1,000,000,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat ada peniaga melanggar peraturan berkenaan boleh menghubungi talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre   (MYGCC), Call Centre 1 800 886 800, nombor bilik Enforcement Command Centre (ECC) Johor,  iaitu 07-2272811, WhatsApp KPDNHEP 019-2794317, E-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU atau melaporkannya di mana-mana pejabat cawangan daerah KPDNHEP di  seluruh negeri Johor.

Mengenai Operasi Penguatkuasaan Pencegahan COVID-19 PKPB (Ops PKPB), YB Vidyananthan berkata, hingga 17 Mei lalu, sebanyak 5,253 premis diperiksa dan 77 notis penutupan dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di premis-premis yang disyaki boleh menyebabkan perebakan COVID-19 kerana tidak mengamalkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan seperti penjarakan sosial dan pemantauan saringan kesihatan di pintu masuk premis.

“Di samping itu, sebanyak 373 notis amaran dikeluarkan kerana gagal mematuhi arahan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.5) 2020,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini