KOTA ISKANDAR, 28 Julai – Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai salah satu cara menzahirkan rasa kecintaan terhadap negara.

Beliau berkata, pengibaran bendera kebangsaan itu juga sebagai simbolik terhadap rasa kebanggaan sebagai rakyat Malaysia kerana Jalur Gemilang merupakan satu daripada lambang kedaulatan negara.

“Kibar dan hiasilah kediaman, bangunan awam, premis perniagaan dan kenderaan dengan Jalur Gemilang,” katanya semasa melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Johor 2020 di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Johor, YB Dato’ Haji A. Rahim Nin wakil rasmi kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Speaker Dewan Negeri Johor, YB Tuan Haji Suhaizan Kaiat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Haji Mazlan Bujang, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan Pengarah Penerangan Negeri Johor,  Tuan Haji Sabarudin Yeop Hamzah.

YAB Menteri Besar menegaskan, Jalur Gemilang memberi makna yang besar kerana bukan hanya dikibarkan apabila rakyat dan negara  meraikan kejayaan, malah ketika ditimpa musibah sebagai tanda bangsa dan berdukacita.

“Nyata begitu besar makna dan nilai sehelai bendera yang bernama Jalur Gemilang. Namun, kaedah dan atur cara penggunaannya yang salah juga boleh menjatuhkan martabat kedaulatannya, sekali gus merupakan suatu penghinaan kepada seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, tema sambutan Hari Kebangsaan kali ini, iaitu ‘Malaysia Prihatin’ sememangnya membawa makna yang amat besar kepada semua rakyat Malaysia.

Ini kerana rakyat Malaysia  bukan sahaja meraikan kebebasan negara yang ke-63, malah lebih besar maknanya apabila menyambut ulang tahun kemerdekaan semasa negara dan seluruh rakyat masih berjuang mengekang penularan wabak COVID-19 yang menjejaskan kehidupan serta memaksa semua mengamalkan normal baharu.

“Meskipun sambutan Hari Kebangsaan kali ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana tiada perarakan dan perhimpunan raksasa, namun keadaan ini tidak bermakna semangat cintakan negara pudar, sebaliknya kita zahirkan dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial kerana perjuangan menentang COVID-19 belum berakhir.

 “Mematuhi SOP itu juga satu perjuangan kerana semua harus sedar bahawa musuh kita kali ini tidak kelihatan. Selagi vaksin belum ditemukan, perjuangan untuk memerdekakan umat manusia daripada belenggu COVID-19 belum berakhir,” katanya

YAB Menteri Besar berkata, Johor juga memperkenalkan Tujuh Ikhtiar Makmur Johor yang bertujuan mengeluarkan negeri ini daripada belenggu pandemik COVID-19 dan memperkasakan semula sektor ekonominya.

“Kesemua ikhtiar ini adalah usaha amal bakti kita untuk rakyat Johor dan bukannya ikhtiar politik. Jauh sekali merupakan ikhtiar yang populis. Tujuh ikhtiar ini adalah terjemahan keprihatinan Kerajaan Negeri Johor kepada rakyat. – Makmur Johor

Kongsi berita ini