KOTA ISKANDAR, 9 Jun: Kerajaan Negeri Johor menyambut baik pengumuman Kerajaan Persekutuan yang membenarkan semula rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura bagi urusan pekerjaan.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata,  keputusan itu pastinya amat melegakan, khususnya rakyat Johor yang selama ini mencari rezeki di negara republik berkenaan.

”Saya percaya keputusan Kerajaan Persekutuan membenarkan semula rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura dibuat demi kepentingan ekonomi kedua-dua negara serta kelangsungan hidup rakyat Malaysia yang bekerja di negara berkenaan.

”Sememangnya Malaysia dan Singapura saling memerlukan antara satu sama lain, apatah lagi sebagai negara berjiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri Johor akan sentiasa membantu dan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Singapura bagi memudahkan semua urusan yang diperlukan supaya proses tersebut berjalan lancar.

”Semoga kelonggaran ini akan dapat membantu memacu dan melonjakkan kembali sektor ekonomi kedua-dua buah negara.

“Negeri Johor telah menerima pelaburan dalam sektor perkilangan dari Singapura sepanjang 20 tahun lepas, iaitu sejak tahun 1999 adalah sebanyak RM19.423 bilion.

“Pada tahun 2015, negeri Johor menerima pelaburan dari Singapura sebanyak RM716.75 juta, manakala pada tahun 2016 sebanyak RM509.50 juta. Jumlah pelaburan itu meningkat menjadi RM717.60 juta pada tahun 2017 dan terus bertambah pada 2018, iaitu sebanyak RM864.69 juta. Pada tahun 2019, nilai pelaburan dari Singapura melonjak sebanyak 51.47 peratus, iaitu RM1.68 bilion,” katanya.

Menurutnya, trend pelaburan dari Singapura telah menunjukkan signifikasi yang positif dan merupakan antara negara penyumbang pelaburan terbanyak di negeri Johor.

“Antara faktor yang menarik pelaburan dari Singapura adalah lokasi republik tersebut yang berhampiran negeri Johor serta keadaan geo-politik dan persekitaran perniagaan yang hampir sama antara Malaysia dan Singapura, katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini