KOTA ISKANDAR, 6 Julai: Kerajaan Negeri Johor akan memohon peruntukan sebanyak RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini, khususnya dalam sektor pembuatan bagi mendepani situasi sukar pasca COVID-19.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, peruntukan tersebut realistik dan sesuai dengan sumbangan sektor tersebut dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara.

”Peruntukan tersebut khusus untuk IKS bagi sektor pembuatan di negeri Johor selepas saya mendengar banyak permintaan daripada pemain-pemain industri di negeri ini.

”Saya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan bagi membincangkan isu ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Ibrahim Johor Economic Council (IJEC) di Hotel Jen by Shangri-La ,di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Azmi Rohani; Mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Dr. Ali Hamsa; Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ A. Rahim Nin.

Selain itu, IJEC turut dianggotai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohammad Syed Ibrahim; Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Md. Ariff Mahmood; Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Turut sama ialah Pengerusi Ecoworld Development Group Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Liew Kee Sin; Pengerusi Malaysia Institute of Research (MIER), Tan Sri Datuk Dr. Kamal Salih; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed; Pengarah/Pengasas Bait Al Amanah Dr. Abdul Razak Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pembangunan) Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim.

YAB Menteri Besar berkata, mesyuarat yang melibatkan tokoh-tokoh berpengalaman dalam pelbagai bidang itu membincangkan isu serta usaha mendepani kelembapan ekonomi pasca COVID-19.

”Mesyuarat tersebut turut membincangkan pakej rangsangan selain memikirkan kaedah-kaedah yang terbaik bagi memastikan ekonomi di negeri Johor berdaya tahan,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini