KOTA ISKANDAR, 5 Julai: Kerajaan Negeri Johor meletakkan harapan tinggi kepada anggota Ibrahim Johor Economic Council (IJEC) bagi membantu memulihkan ekonomi negeri pasca COVID-19 supaya mampu kembali berdaya saing.

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, pengalaman luas semua tokoh yang dilantik amat diperlukan bagi membantu Johor mendepani ketidaktentuan ekonomi global secara amnya.

“Gangguan global akibat COVID-19 semakin tidak terkawal. Ketidaktentuan ini telah menjejaskan keseluruhan rantaian perbekalan global.

“Johor merupakan sebuah negeri yang amat berdaya saing. Sejak tahun 2011-2016, pertumbuhan ekonomi Johor melepasi kadar direkodkan oleh Malaysia setiap tahun, dengan purata pada 5.9% berbanding 5.1% bagi Malaysia.

“Justeru, peranan IJEC bukanlah biasa. Dalam situasi yang meruncing ini, kita perlukan sebuah majis yang mampu memulihkan situasi ekonomi negeri ini dan memastikan negeri ini kembali berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis makan malam meraikan anggota IJEC di Hotel Jen, Puteri Harbour, di sini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Azmi Rohani; Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ A. Rahim Nin dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

YAB Menteri Besar berharap IJEC mampu membawa negeri Johor ke satu tahap yang lebih tinggi dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

“Saya berharap anda (anggota IJEC) bantulah saya untuk menjadikan negeri Johor untuk menjadi lebih makmur. Keputusan serta polisi ini dijangka mampu memberi kelebihan kepada lebih tiga juta rakyat di negeri Johor,” katanya. – Makmur Johor

Kongsi berita ini